NERACA DALAM KEHIDUPAN
Dalam pegangan hidup manusia, hendaklah diambil neraca dan nilai syara’ dan tidak seharusnya diambil nilai-nilai yang lain. Kebaikan dan keburukan hendaklah diperhatikan menurut pandangan syara’ berdasarkan kepada kaedah:
“ Yang Baik Ialah Apa Yang Dipandang Baik Oleh Syara’ dan Yang Buruk Ialah Apa Yang Dipandang Buruk Oleh Syara”
Terdapat banyak perintah Allah yang memerintahkan kita agar mengambil nilai syara’ dan melarang dari mengambil nilai yang lain daripada nilai syara’. Antaranya Firman Allah s.w.t:
(i) “ Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui “ (Surah Al Jaatsiyah: 18)
Terdapat keterangan yang memberi peringatan bahawa memilik dan berpaut kepada yang lain daripada nilai Islam merupakan, kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t :
(i) “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah) “ (Surah Al An’aam: 116)
(ii) “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. “ (Surah Al Ahzab: 36)
NILAI YANG TETAP
Nilai Islam adalah nilai yang tetap dan tidak berubah-ubah meskipun zaman beredar dan berubah. Dalam hal ini al Allamah Abu al’Ala al Maududi telah menyatakan daalam risalahnya, Ila Ayy Syai’Yad’u al Islam, bahawa Allah s.w.t tidak semata-mata menurunkan undang-undang tertinggi (Supreme Law) melalui RasulNya, bahkan diturunkan bersama-samanya nilai yang tetap (Thabitah = Permanent Values). Sesuatu yang telah ditetapkan baik di dalam al Quran dan Sunnah Rasul itu adalah baik selama-lamanya.
Demikian juga sebaliknya, sesuatu yang ditetapkan buruk itu, maka ia tetap buruk selama-lamanya. Begitu juga yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Ketetapan tersebut tidak boleh dipinda, ditambah, dikurangkan atau dihapuskan. Hanya yang berani membuat pindaan dan pembatalan itu ialah golongan atau jamaah yang melepas dan membebaskan diri daripada Islam.
Hal yang sama juga telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh As Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya yang sangat bernilai, Khasais at Tasawwur al Islami Wa Muqawamatuha, dalam satu tajuk, Ath Thabat (Nilai Yang Tetap). Perlu diperingatkan sekiranya ketetapan Allah s.w.t itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kerosakan demi kerosakan di alam ini.
Firman Allah s.w.t : “Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu “ (Surah Al Mu’minuun: 71)
NILAI ALLAH
Islam telah ditetapkan oleh Allah s.w.t sebagai satu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka. Hal ini telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:
“Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran “ (Surah Al Asr : 1 – 3)
(i) “Orang-orang yang kafir kepada Tuhannya, amalan-amalan mereka adalah seperti abu yang ditiup angin dengan keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil menafaat sedikitpun dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh“ (Surah Ibrahim : 18)
Amalan Soleh itu adalah buah Iman, Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat Ilahi. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.
0 comments: